I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, May 5, 2009

Taufan Chan-Hom landa Labuan, 16 rumah rosak

LABUAN: Selepas melanda perairan Vietnam semalam, taufan tropika Chan-Hom pula berlaku di Labuan pada awal pagi ini, yang memusnahkan 16 rumah kayu.

Pada kejadian itu, bumbung 16 rumah di kampung Bebuloh Laut di sini itu diterbangkan angin kencang yang menyebabkan beratus-ratus penduduk kampung tersebut lari meninggal rumah untuk mencari perlindungan.

Bagaimanapun tidak ada kes kematian dilaporkan akibat kejadian itu.


Jabatan Meteorologikal sudah mengeluarkan amaran angin kencang kategori kedua dan ombak yang dibawa oleh taufan tropika berlaku di perairan Labuan sehingga Khamis ini dan keadaan ini adalah merbahaya untuk aktiviti perkapalan dan pantai, pekerja pelantar minyak, perikanan serta perkhidmatan feri.


Angin kuat dan laut bergelora mula berlaku sejak petang Ahad.

Beberapa kampung di pulau itu seperti Kampung Lubok Temiang, Kampung Layang-layangan, Pohon Batu, Manikar, Patau-Patau dan Membidai juga mengalami angin kencang tetapi tidak ada kerosakan dilaporkan.

Seorang mangsa, Sidub Mat Sarudin, 49, ketika ditemui berkata, beliau dan keluarganya sedang tidur apabila taufan itu melanda rumahnya.

"Saya terbangun kerana bunyi kuat dan dengan segera terkejut apabila menyedari bumbung rumah saya diterbangkan.

“Angin sangat kuat pada masa itu dan keadaan menjadi lebih buruk dengan bekalan api terputus," katanya.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal, yang diiringi Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zaharil Kassim dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan melawat kampung terbabit.

Beliau berkata, peruntukan segera RM55,000 diluluskan kepada keluarga terbabit untuk memperbaiki rumah mereka yang rosak.

"Kita harap mangsa terbabit supaya bersabar kerana kerajaan akan membantu mereka. Daripada 16 rumah itu, lima dalam keadaan teruk. Setiap rumah ini akan menerima bantuan wang RM8,000 sementara rumah yang tidak teruk diberikan sumbangan antara RM1,000 dan RM3,000 dan bergantung kepada kerosakan yang dialami," katanya. - Bernama


+++++WOOOO....Nasib baik nda kena rumah ku D:

No comments:

Post a Comment